Papan Tanda Tinta..

Papan Tanda Tinta..

Tertinggal...



“Daripada ‘Abdullah radhiyallahu ‘anhuma katanya, sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, 'Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah ...”, Asrar cuba mengingatkan Ilhan. Lantas disambung oleh Ilhan, “... yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya'. Lirik senyuman bahagia terukir di bibir mereka berdua. Dan itulah yang menjadi pegangan dalam persahabatan dua teman sejati itu.


Sudah lama tidak bertemu Asrar menghadiri majlis-majlis ilmu. Bertalu-talu persoalan menjengah fikiran, bahkan menjadi buah mulut kenalan-kenalannya apabila mendatangi Ilhan. Adakah kerana Asrar tidak berkelapangan masa? Atau Asrar memperoleh pengisian-pengisian di tempat lain? Atau Asrar mempunyai krisis yang tidak mereka ketahui?


Kerinduan terhadap Asrar semakin memuncak. Bagaimana mungkin seorang peneman Ilhan sewaktu minum petang, minuman coklat kurma menjadi minuman kegemaran mereka, kini dia hanya keseorangan. Bicara lembut Asrar sentiasa terisi perbincangan Islamik serta isu-isu terbaru dan teradun sama input-input bernas dari Ilhan yang kadangkalanya berbaur nada tegas menegakkan kebenaran. Rancak, bagaikan ingin menjemput segala hal yang berlaku seluruh dunia untuk diselesaikan segala konflik dan memperbaiki segala sistem dunia. 


Kelibat Asrar sudah tidak berbekas di meja bulat itu semenjak Asrar menghilangkan diri darinya pada cuti semester yang lalu. Bermula dari detik itu, pencarian Ilhan tidak mendatangkan apa-apa petanda untuk menjejaki Asrar. 


Lewat senja, Ilhan dan rakannya Asiah, melaksanakan rutin harian mereka menghabiskan jualan nasi secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupannya di universiti. Tiba-tiba seseorang telah melintasi gerai mereka. Laju benar tapakannya sehingga susuk tubuh itu segera menjauh dari pandangan Ilhan. Ligat fikirannya memikirkan siapakah itu, seakan hatinya terasuk bahawa itu adalah Asrar. Ilhan segera melontarkan panggilan, namun tidak kesampaian. Ilhan meminta Asiah menguruskan jualan mereka, dan jika dia terlewat, Ilhan meminta Asiah untuk pulang terlebih dahulu. Lantas Ilhan mengejar orang tadi sehingga terbukti nalurinya berkata benar.


Intipan Ilhan melata, terlalu jauh sehingga mereka telah tiba berdekatan dengan hospital di pusat bandar. Berkecamuk fikiran Ilhan. Adakah insan yang disangka Asrar itu sedang teruji dengan kesakitan? Insan yang dikejar oleh Ilhan berhenti di persimpangan lorong. Ilhan terus merapati orang itu seraya memanggil “Cik”, berulangkali. Akhirnya, orang itu menoleh ke belakang menghadap Ilhan. 


Dan tertanyata, dia bukanlah Asrar, orangnya lebih berusia tetapi mempunyai iras dan berbadan seakan saiz Asrar yang kurus dan sederhana tinggi. Ilhan mendekati orang itu dan memohon kemaafan serta memberitahu tujuannya ingin mengesani Asrar. Gadis berkulit putih kemerah-merahan itu memperkenalkan dirinya sebagai Nuha. 


Penyusunan Allah sungguh hebat, Nuha merupakan sepupu kepada Asrar dan benarlah kata hati Ilhan tadi yang dia akan bertemu Asrar. Berubah riak wajah Ilhan dan dia segera mengajukan persoalan berkenaan keberadaan Asrar. Segera Nuha menarik tangan Ilhan dan mereka mengarah ke suatu tempat. Berombak dada Ilhan memikirkan ke mana mereka akan pergi, sepertinya hospital. 

..........................

 

 “Pusat Penjagaan Kanak-kanak Autisme”.
 

“Apa yang kita buat di sini?”, Ilhan masih tertanya-tanya. Mereka memasuki premis itu, dan tanpa disedarinya, ada insan yang memeluknya dari belakang. Apabila menoleh. Berderai mutiara jernih membasahi pipi Ilhan. 


Asrar! “Asrar buat apa di sini? Ke mana Asrar pergi sebelum ini? Kenapa tiada satupun perkhabaran tentangmu, sahabat?”, bertalu-talu pertanyaan Ilhan dihadapkan kepada Asrar. “Mencari peninggalan arwah Ummi..”, Asrar menahan sebak. “Arwah Ummi Asrar? Maafkan Ilhan, langsung tak tahu apa yang dah terjadi pada Asrar.”


“Sebelum Ummi ‘pergi’, Ummi hidap kanser di tahap kritikal, Ummi tak boleh bercakap. Ummi hanya titipkan satu gambar, dan ianya adalah gambar tempat ini. Puas Asrar mencari ‘permata’ yang Ummi yang titipkan itu. Rupa-rupanya, Ummi usahakan pusat jagaan ini. Mulia hati Ummi, kan?” Asrar tidak mampu mengungkap sebarang kata lagi dan lemah dalam pelukan Ilhan. Betapa kerinduan kepada ibunya sungguh memuncak dalam diri anak solehah itu. Ilhan mendakap Asrar sekuatnya agar ia dapat mengurangkan segala hiba sahabatnya.


“Di sini kasihnya turut tertumpah selain buat Asrar seorang. Jagalah tempat ini baik-baik. Tapi, jangan lupa, Ilhan sentiasa ada sebagai bahu Asrar. Walau apa keadaan sekalipun, Ilhan tetap sahabat Asrar, bahkan sudah menganggap kamu sebagai saudara kandung Ilhan sendiri”, luah Ilhan. Tanpa mereka berdua sedari, Nuha yang tadinya berdiri di samping mereka, deras mengalirkan air mata. Dibisiknya, “Sejatinya persahabatan kamu berdua.” “Tidaklah. Sweet saja”, kata Asrar dengan mimik muka ceria. Dalam tangis, tersisip tawa mereka bertiga sehinggakan beberapa orang penghuni premis tersebut turut melebarkan senyuman melihat gelagat mereka.


            Mereka berdua ke suatu sudut, sementara Nuha menyelesaikan beberapa perkara berkenaan perubatan kanak-kanak Autisme di situ. Nuha merupakan seorang doktor pakar di hospital berdekatan. Nuha mengetahui segala-galanya berkenaan dengan penubuhan pusat jagaan itu. Dan dia telah berjanji untuk menyimpan rahsia Ummi Asrar sehinggalah pada suatu hari, Asrar sendiri yang menjumpai premis itu. Dan Nuha telah memberitahu segala-galanya serta menyatakan sebab mengapa Ummi Asrar menyembunyikan perkara ini daripada Asrar.


Asrar menghidangkan minuman coklat kepada Ilhan. “Ahhh, memori menyinsing lagi”, Ilhan bermonolog. Panjang bicara mereka berdua berkenaan Ummi Asrar dan pusat jagaan itu. Asrar sedaya upaya mempertahankan pusat jagaan itu daripada ditutup kerana setelah ketiadaan ibunya, kewangan pusat jagaan itu merosot dan dari soal pengurusannya sedang terumbang-ambing kerana tiada pengurusnya. Hal itu mendatangkan kesukaran untuk Asrar mengurus masa belajar, inikan pula masanya dengan kawan-kawan. Semakin hari, keadaan pusat jagaan sudah semakin pulih dengan bantuan dari banyak pihak yang sangat murah hati. Akan tetapi, Asrar belum bersedia menemui Ilhan untuk menceritakan semuanya sehinggalah takdirNya mempertemukan mereka hari ini.


Menjelang senja, Ilhan meminta diri dari Asrar untuk pulang ke rumah sewanya, untuk membantu Asiah mengemas peralatan jualan siang tadi. Asiah terlihat terlalu penat seperti baru sahaja selesai memikul batu besar, namun senyuman tak lekang dari bibirnya sambil tak henti mengemas. Tampak-tampak janji Asrar di minda Ilhan. Asrar menyatakan bahawa dia akan lebih bertanggungjawab terhadap pelajarannya dan akan mengatur masa dengan seimbang antara keberadaannya di pusat jagaan, majlis-majlis ilmu, bersama masyarakat dan lain-lainnya.
 

Dulu, pernah Asrar mengeluh, Terlalu dangkalnya ilmu kita sebagai insan. Dan bertambahlah kejahilan diri andai kemalasan menuntut ilmu membelit diri. Walaupun beribu buku yang ditelaah, tidak sama dengan berlutut dengan guru yang sahih. Betapa berkahnya sesuatu majlis ilmu. Benar?” 


Tanpa Ilhan sedari, dia terangguk-angguk seorang diri mengiyakan, padahal waktu itu sedang meneguk air menghilangkan haus setelah selesai mengemas barang. Asiah yang memerhatikan Ilhan yang dari tadi dalam dunianya sendiri, hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan terkadang terluah tawa kecil. “Jom kita mulakan ulangkaji”, Asiah teman sekuliah Ilhan, sangat bijak orang dan benar-benar memanfaatkan ilmu.


Hampir setiap hujung minggu Ilhan menziarahi pusat jagaan itu. Ilhan turut menjumpai suatu yang berharga di situ, yang mana Ummi Asrar yang tertinggal semangatnya dan inspirasi seorang insan sangat amanah dan hebat melewati kehidupan sewaktu di dunia. Benih-benih bakti Ummi Asrar dahulu, kini sudah terlihat hasilnya. Nasib kanak-kanak autisme terbela dan mereka di landasan yang baik di mana ada di antara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


Pesan Ummi Asrar, Makna hidup kita adalah pada banyaknya kita memberi, tidaklah hanya menerima. Bilamana kita menuntut ilmu, ilmu itu kembali menuntut kita untuk amal dan sebar. Dari kecil kita menerima jagaan yang baik, bila kita dewasa, kita disuruh untuk menjaga ibu bapa kita dengan baik. Dan begitulah dalam segala hal kehidupan. Kita saling melengkapi, jadilah insan yang bermanfaat untuk yang lain, terutama yang memerlukan bantuan atau sokongan dari kita. Tangan di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Memberilah semampu daya kita."


Asrar merindui suara lunak Ilhan mengalunkan kalamullah. Terukir senyuman Asrar mengingati kali pertama mendengar nama Ilhan, yang mana pada awal taaruf mereka, Asrar terdengar “Ilham” atau boleh jadi juga “Ilan”. Bersesuaian makna namanya, Ilhan bermaksud mempunyai suara yang merdu dan percakapan yang fasih serta jelas. Malam mereka di pusat jagaan, diisi dengan aktiviti kerohanian. Mutiara jernih Asrar mengalir deras saat ayat kegemarannya diperdengarkan oleh Ilhan, halus meniti ruang dengar Asrar. Indah.


“Ilhan mohon seribu kemaafan dari Asrar. Lama Ilhan tertinggal sahabatku ini dengan segala derita yang kamu tempuhi seorang diri. Sungguh, Asrar benar-benar seorang yang tabah”, Ilhan kelihatan sugul. Asrar merangkul bahu Ilhan dan berkata, “Terima kasih, sahabat. Tiada apa yang tertinggal sebenarnya,  namun ia tetap kekal menjadi takdir terindah, kerana semangat dan permata nasihat Ilhan sentiasa mengiringi hari-hari Asrar walau Ilhan tiada di sisi.”

...

Cerpen ini ku lakar indah,
jangan dicarik atau digubah,
namun tiada ku hampa dan resah,

bilamana ia tersebar sebagai ibrah..


NuR
Bandar Seri Putra, Bangi.

No comments:

Post a Comment

Murobbiah Sayangfillah..

Murobbiah Sayangfillah..
"Dalam mengharungi landasan dakwah & tarbiyyah (D&T), murobbi dan halaqah tak boleh dipisahkan.. Setiap masa dan tempat mesti mencari peluang mendapatkannya.. Agar jiwa da'ie dalam diri sntiasa terarah dan dipandu pada landasan yg betul, bi iznillah.." _Ummi Hasnah Mohamed_
Serangkap tinta Nur susun buat Ummi sayangfillah:
Baja keringat yang ditabur,
menyuburkan cambahan akar cerdik pandai yang menyusur kepantasan masa,
merimbunkan pokok kemajuan negara kian moden buat teduhan insan di bawah didikannya.
Angin berpupuk menyapa haruman bunga kejayaan duniawi yg mekar,
lalu berputik buah kebaikan untuk dituai dalam kiraan amalan kelak nun di akhirat sana,
semuanya kerana baja keringat insan bergelar MUROBBI. Dengan IzinNya, tersemai elok benih insan yang kecil saja saiz ilmunya lalu tumbuh menjadi insan berisi yang bermanfaat buat yang lain; seorang pelajar.
Barakallahu fik...

Seperjuanganku FILLAH Menghiasi Lakaran Insani Diri Ini..

Seperjuanganku FILLAH Menghiasi Lakaran Insani Diri Ini..

Dalam ukhuwwah itu akan terlakar segala lukisan kenangan amat indah, walau terkadang terselit duka & perih pahitnya ujian. Namun, ujian itu lebih mengakrabkan kami, mengindahkan lagi lembaran kehidupan kami. Antara dua saudara itu, pelbagai kelainan yang ada pada diri masing-masing, ada yang cantik, ada yang cute, ada pandai, ada yang bijak dan bermacam-macam kehebatan lagi. Akan tetapi, bila sama-sama melengkapi,semuanya akan membentuk lingkaran kesempurnaan. Mungkin ada waktunya lingkaran itu ada juga sedikit kekosongan di dalamnya dek kerana kami adalah insan biasa, tidak sempurna. Indah kan ukhuwah fillah? <3

My Life My Exam..

My Life My Exam..
A trial.. or real.. Not so easy to change our mind to DO.. but, when we DID it, yeay, alhamdulillah, we'll feel that actually, it's not so difficult as we think, insyaAllah. Go! Go! Next stairs is waiting me, you & us! Allahu yusahhil 'ala kulli hal, Allahumma Ameen.

L.O.V.E.

L.O.V.E.
Abu Huraira reported: The Prophet, peace and blessings be upon him, said, “A man set out to visit his brother in Islam from another town and Allah sent an angel to him. When the man met the angel, he was asked: Where are you going? The man said: I am visiting my brother in this town. The angel said: Are you returning a favor? He said: No, I have desire to visit him except that I love him for the sake of Allah the Exalted. The angel said: I am a messenger from Allah to tell you that Allah loves you as you love him.” {Sahih Muslim 2567, grade: Sahih (authentic) according to Imam Muslim.}

Bedah Hati Soal Cinta Milik Siapa..

Bedah Hati Soal Cinta Milik Siapa..
Dikarang segala gembira, dilakar segala bahagia. Indah tiada terkata, bersama si dia yang tidak halal baginya. Di suatu masa, lara datang menyapa, pedih menahan segala luka. Sudah tak berhargakah segala bahagia yang ditinta bersama? Apakah janji sudah terkota, ingin bersama selamanya? Wahai hati yang sedang 'bahagia dalam lara', sedarilah sebelum hampa, ia nyata hanya silap mata permainan dunia sahaja. Jagalah cinta sebaiknya. Usah dibiarkan disapa oleh yang tidak patut menerimanya. IMAN di dada kata,"Jangan mengada2 bila si penggoda mula berkata2.." Di takat mana, kepedulian kepada jiwa? Lahirkan cinta sebagai seorang Hamba, kepada Yang Maha Mencipta, jua pada hanya yang selayaknya. Jangan sekali-kali berhambakan cinta yang dusta.

Harapanku AnNisa..

Harapanku AnNisa..
Wahai rijal! Bila saat hiba kesusahan menimpa, bagi seorang nisa',mengalirkan air mata dapat mententeramkan hati yang sedang kekalutan & kesedihan. Namun, jangan menganggap tangisan kami itu satu kelemahan kerana itu adalah fitrah seorang nisa'. Jangan sesuka hatimu mengambil kesempatan ke atas kami dengan membuatkan ramai nisa' sentiasa bergenang mutiara jernih. Jangan sesekali sentuh hati kami tanpa ada ikatan yang sah!! Nanti bisanya sentuhan itu akan melukakan hati antara kami di suatu saat. Lindungilah sebaiknya insan-insan yang sering mengalirkan air mata ini.